Jumaat, 25 Disember 2009

Selamat Memperingati Hari Kelahiran Isa A.S

Atas izin Rasulullah saw seramai 14 orang umat Islam Makkah telah berhijrah mencari perlindungan di Habsyah angkara kezaliman kaum musyrikin disana. 14 orang termasuk 4 orang wanita itu diarahkan pergi ke Habsyah kerana Rajanya Najashi seorang Kristian Koptik dikatakan seorang yang taat pada Allah dan berlaku adil. Ringkas cerita kumpulan ini akhirnya di bawa mengadap Raja Najashi apabila wakil musyrikin Makkah diketuai Amru al As yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Najashi telah memohon agar kumpulan Islam itu diserahkan kepada mereka untuk dibawa balik ke Makkah kerana dikatakan pendurhaka.
Ketua perwakilan Islam, Jaafar bin Abi Talib telah berhujah membela diri bagi pihak kaum Muslimin. Beliau merayu kepada najashi agar tidak menyerahkan kumpulan mereka kepada amru. Kata beliau merekadiarahkan oleh Rasulullah saw untuk ke Habsyah keranan Najashi dikatakan adil.

Lalu Najashi meminta Jaafar agar menerangkan darihal Isa a.s yang dikatakan turut di imani oleh umat Islam. Lantas Jaafar memetik firman Allah swt dalam surah Maryam(ayat 16-21):

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh (Jibril) dari kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.

Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.

Ia berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci".

Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?"

Ia menjawab: "Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.

Esok penganut agama Kristian akan meraikan hari Krismas iaitu menandakan hari kelahiran Nabi Isa a.s kira-kira 2000 tahun lalu.

Isa dilahirkan sebagai satu hadiah, iaitu berupa rahmat dari Allah swt buat umat manusia. Penganut Kristian percaya kepada konsep memberi padahari Krismas kerana ianya menandakan hadiah Allah berupa tubuh badan Nabi Isa yang dilahirkan pada hari berkenaan untuk umat manusia.

Betapa banyaknya persamaan antara kedua agama terbesar dalam dunia ini, walaupun hakikatnya adajuga perbezaannya. Apa pun umat Islam menerima bahawa Isa al Masih sebagaimana dinyatakan oleh al Quran adalah Rahmat dari Allah buat umat manusia.

Kerana itu apabila dibacakan ayat-ayat Allah oleh Jaafar, maka Raja Najashi berkata kepada Amru bahawa walaupun segunung emas diserahkan kepadanya oleh Amru, beliau sekali-kali tidak akan menyerahkan Jaafar dan kumpulannya kepada beliau. Malah beliau menitahkan agar Jaafar dan kumpulannya boleh terus berada di Habsyah selama mana yang mereka perlu. Selamat memperingati hari kelahiran Nabi Isa buat semua. Wallahualam.

No response to “Selamat Memperingati Hari Kelahiran Isa A.S”

Leave a reply


ShoutMix chat widget
 
© 2009 al-haqqu fil hayaht. All Rights Reserved | Powered by Blogger
Design by psdvibe | Bloggerized By LawnyDesignz