Khamis, 14 Januari 2010

ISU KEBENARAN MAHKAMAH TINGGI TERHADAP PENGGUNAAN PERKATAAN ALLAH OLEH GEREJA KATOLIK

Pengenalan :
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald – The Catholic Weekly setelah Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa setiap individu mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan Allah. Keputusan demikian dibuat dalam semakan kehakiman oleh Gereja Katolik difailkan melalui Ketua Paderi, Tan Sri Murphy Pakiam dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Isu ini timbul apabila pihak Kementerian Dalam Negeri melarang penerbitan mingguan Gereja Katolik tersebut daripada menggunakan perkataan Allah dalam versi bahasa Melayu mereka. Tajuk artikel yang ditulis sebelum ini dalam penerbitan tersebut yang menggunakan perkataan Allah ialah : Kasih Allah; Tidak Membeza-bezakan.
Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Lau Bee Lan ketika membenarkan permohonan tersebut berkata, Gereja Katolik selaku pemohon mempunyai hak untuk berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan. Menurut beliau, Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa menjadi satu kesalahan bagi seseorang bukan Islam untuk menggunakan perkataan Allah kepada umat Islam untuk menyebarkan agamanya. Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu sesama mereka bagi tujuan agama mereka.
Hakim tersebut juga bersependapat dengan pemohon bahawa Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam selaku agama rasmi tidak memberi kuasa atau membenarkan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia menghalang gereja tersebut daripada menggunakan perkataan Allah.
Penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan itu juga, menurut beliau, merupakan sebahagian daripada hak untuk bersuara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.
Sejarah Penggunaan perkataan Allah dalam agama Kristian :
Mengikut pandangan Islam, agama Kristian yang ada pada hari ini adalah agama yang diselewengkan daripada ajaran Nabi Isa a.s. Nabi Isa mengajak manusia supaya menyembah Allah yang Esa. Firman Allah s.w.t :
قولوا آمنا بالله وما أنزل إلينا وما أنزل إلى إبراهيم وإسماعيل وإسحاق ويعقوب والأسباط وما أوتي موسى وعيسى وما أوتي النبيون من ربهم لا نفرق بين أحد منهم ونحن له مسلمون. [البقرة : 136]
Maksudnya :
Katakanlah : “Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami, dana apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakob dan anak cucunya dan apa yang diberikan kepada Musa dan Isa.
Agama yang dibawa oleh Nabi Isa ini akhirnya telah diselewengkan dengan menganggap bahawa Nabi Isa adalah anak Tuhan. Perlu dijelaskan di sini bahawa agama Kristian masih mempercayai tentang keesaan Tuhan tetapi melalui konsep Trinity (3 dalam 1). Mereka berpandangan bahawa Allah itu satu dalam 3 iaitu ayah, anak dan Ruh Qudus. Ketiga-tiga mereka itu adalah Allah yang satu.[1]
Al-Quran menceritakan kepada kita bahawa penganut agama Kristian menggunakan perkataan Allah dalam konsep Trinity. Ia berdasarkan kepada firman Allah s.w.t :
لقد كفر الذين قالوا إن الله ثالث ثلاثة. وما من إله إلا إله واحد.
Maksudnya :
Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang berkata : “Allah salah satu daripada yang tiga.” Padahal sekali-kali tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Tuhan yang Esa.
Ulama Islam berbangsa Arab menggunakan kalimah Allah bagi Tuhan agama Kristian :
Para ulama Islam berbangsa Arab sendiri seperti Imam Muhammad Abu Zuhrah[2], Imam Qurtubi[3], Dr. Ahmad Syalabi[4] dan lain-lain ketika membincangkan aqidah agama Kristian menggunakan perkataan Allah untuk tuhan agama Kristian. Kebanyakan mereka apabila menolak konsep Trinity membawa dalil daripada kitab Injil dan pandangan cendekiawan agama Kristian dengan menterjemahkan Tuhan agama Kristian dalam bahasa Arab dengan perkataan Allah.
Uruf dan Realiti Penggunaan Kalimah Allah di Malaysia :
Jika dilihat kepada realiti penggunaan perkataan Allah di Malaysia, maka kita akan dapati bahawa perkataan tersebut adalah kalimah untuk Tuhan orang Islam dan hanya digunakan di dalam agama Islam walaupun dalam bahasa Arab ia digunakan juga dalam agama Kristian sebagaimana dalam ayat Al-Quran di atas. Sebagai contoh untuk perbandingan, perkataan ustaz hanya merujuk kepada guru agama dalam bahasa Melayu walaupun ia bermaksud guru secara mutlak dalam bahasa Arab.
Ini dibuktikan melalui makna kalimah Allah dalam Kamus Dewan yang menjadi rujukan yang paling sahih dalam bahasa Melayu ialah: “Tuhan (yang Esa); Allah Azzawajallah adalah Tuhan Yang Maha Baik dan Maha Mulia. Begitu juga Kamus Pelajar, kalimah Allah bermakna: “Yang Maha Esa, Yang bersifat dengan sifat-sifat Yang Maha Sempurna dan Yang mencipta alam ini.”[5] Perkataan rumah Allah pula diberi makna kaabah atau bangunan khas seperti masjid, surau dan sebagainya tempat umat Islam beribadat.”[6]
Memandangkan Kamus Dewan dan Kamus Pelajar terbitan DBP adalah rujukan yang paling sahih untuk bahasa Melayu, adalah menjadi kewajipan kepada sesiapa yang ingin menggunakan bahasa tersebut dalam penulisan, menggunakan perkataan yang betul maknanya berdasarkan kamus tersebut.
Rumusan :
Berdasarkan kepada keterangan di atas, walaupun agama Kristian menggunakan kalimah Allah dalam bahasa Arab, ia tidak bermakna perkataan tersebut harus dibenarkan untuk digunakan di Malaysia dalam konteks bahasa Melayu. Siyasah Syariyyah dan fiqhul waqie’ seharusnya diambil kira berdasarkan uruf dan realiti di Malaysia yang mana perkataan tersebut hanya digunakan di dalam agama Islam dan perkataan Allah adalah Tuhan orang Islam. Di dalam Islam, uruf dan realiti setempat adalah sangat penting dalam penentuan hukum berdasarkan kepada kaedah العرف محكمة dan المعروف عرفا كالمشروط شرطا.
Di samping itu, terdapat kesan buruk daripada penggunaan kalimah Allah oleh agama Kristian di Malaysia sebagaimana berikut :
1. Mengelirukan masyarakat Islam.
Sebagaimana yang telah diterangkan di atas, perkataan Allah di Malaysia adalah merujuk kepada Tuhan yang Esa dan disembah oleh orang Islam. Agama lain termasuk agama Kristian di Malaysia sebelum ini tidak menggunakan perkataan Allah untuk menggambarkan tuhan mereka. Dalam konteks realiti sekarang, masyarakat awam di kalangan umat Islam yang kurang ilmu agama pasti akan terkeliru dengan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain.
2. Memberi peluang kepada pendakyah agama lain untuk memanupulasikan kalimah Allah untuk menyebarkan agama mereka.
Di antara dakyah yang digunakan sebelum ini untuk menyebarkan agama selain Islam ialah semua agama menyembah tuhan yang satu. Tuhan yang satu tersebut mempunyai nama yang berbeza mengikut mengikut agama masing-masing. Seperti dalam agama Buddha, nama tuhannya adalah Buddha, nama tuhan Hindu ialah Brahma, nama tuhan Kristian ialah Jesus dan lain-lain. Justeru, tidak mengapa untuk memasuki mana-mana agama kerana semua menyembah tuhan yang sama walaupun mempunyai nama yang berbeza mengikut agama.
Dalam isu ini, jika dibenarkan agama lain menggunakan perkataan Allah, maka dakyah ini lebih mudah untuk tersebar dengan menyebarkan dakyah Tuhan yang disembah oleh orang Islam adalah Tuhan yang sama disembah oleh agama lain.
Walaupun menurut Datuk Lau Bee Lan bahawa ia bukanlah satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan Allah sesama mereka bagi tujuan agama mereka dan bukan untuk menyebarkan agama Kristian di kalangan orang Islam, tetapi tidak ada jaminan bahawa ia tidak disebarkan di kalangan orang Islam.
Contohnya ialah dalam isu penggunaan perkataan Allah dalam akhbar HERALD The Catholic Weekly bertarikh 21 Mei yang bertajuk: Kasih Allah; Tidak Membeza-bezakan yang menjadi topik perbincangan kita dalam kertas kerja ini. Akhbar tersebut telah diedarkan secara percuma kepada orang ramai di menara Petronas KLCC walaupun di akhbar itu dinyatakan harganya RM1.00.[7]
Bahkan jika dibaca artikel tersebut, ia mengandungi makna tersirat untuk mengajak orang Islam yang jauh daripada agama kepada agama Kristian. Artikel tersebut menceritakan tentang seorang perempuan yang berpakaian tidak senonoh, bergaul bebas dengan lelaki dan sering keluar rumah dengan lelaki yang berlainan. Perempuan seperti ini secara lazimnya akan dicemuh dan disisihkan oleh masyarakat. Tetapi melalui artikel ini, golongan seperti ini diberitahu bahawa mereka tidak akan dicemuh dan disisihkan oleh agama Kristian kerana kasih ‘Allah’ dalam agama Kristian tidak membeza-bezakan antara orang yang baik ataupun tidak. Pastinya golongan yang disisihkan oleh masyarakat termasuk penganut agama Islam yang terasa disisihkan[8] akan tertarik dengan agama Kristian yang menghargai mereka dan tidak menyisihkan mereka, apatah lagi jika mereka merasakan tidak mengapa untuk memeluk agama Kristian kerana tuhan yang disembah adalah ‘Allah’ juga.
3. Boleh mencetuskan ketegangan antara penganut agama.
Ketegangan antara penganut agama berlaku kerana uruf dan realiti di Malaysia melihat bahawa perkataan Allah adalah ekslusif dan suci untuk Islam. Penggunaan kalimah ini oleh agama lain di Malaysia boleh menyebabkan kemarahan umat Islam kerana menganggap bahawa agama lain telah menceroboh kesucian agama Islam dengan menggunakan perkataan tersebut. Kemarahan tersebut boleh membawa kepada ketegangan dan pergaduhan.
Hak untuk bersuara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan yang menjadi hujjah kepada hakim, Datuk Lau Bee Lan untuk membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan agama Kristian seharusnya dinilai dengan sewajarnya. Ini adalah kerana hak tersebut tidak seharusnya disalahgunakan sehingga boleh menimbulkan ketegangan. Jika hak bersuara dijadikan hujjah, maka tiada siapa pun yang boleh menghalang cemuhan dan makian terhadap seseorang atau pun agama atas alasan ia adalah kebebasan bersuara.
Tidak dinafikan juga, terdapat aspek positif dan maslahat kepada Islam melalui kebenaran penggunaan perkataan Allah dalam agama Kristian di Malaysia. Antaranya ialah ia membuka ruang dan peluang untuk menyebarkan Islam di kalangan penganut agama Kristian. Di samping itu ia menunjukkan sikap tasamuh dan menghormati hak agama lain dalam Islam.
Persoalan yang timbul ialah sejauh mana ruang itu terbuka untuk penyebaran Islam berbanding ruang untuk penyebaran agama Kristian di kalangan orang Islam. Jika alasan membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam agama Kristian di Malaysia untuk menunjukkan sikap menghormati hak agama lain dalam Islam, maka perlu dijelaskan bahawa penggunaan perkataan Allah adalah bukan hak agama Kristian dalam konteks Malaysia.
Apa yang jelas, keburukan dan mafsadah membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam agama Kristian di Malaysia adalah lebih besar berbanding maslahat dan positif yang diperolehi oleh Islam.
Cadangan :
Justeru, beberapa cadangan diutarakan di sini sebagaimana berikut :
- KDN perlu membuat rayuan segera atas keputusan Mahkamah Tinggi tersebut berdasarkan kepada kaedah Islam : تصرف الإمام منوط بالمصلحة dan
سد الذرائع.
- Hakim yang membicarakan kes rayuan ini nanti mestilah beragama Islam. Hakim bukan Islam tidak mengetahui tentang persoalan uruf dan realiti di Malaysia serta pertimbangan antara maslahat dan mafsadah dalam Islam. Sebaik-baiknya kes ini dibicarakan di Mahkamah Syariah kerana ia adalah isu agama Islam walaupun ia melibatkan orang bukan Islam. Ini adalah kerana mengikut tafsiran Perlembagaan Malaysia, kes-kes yang melibatkan orang bukan Islam boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah jika ia bersangkutan dengan agama Islam.
- Dewan Bahasa dan Pustaka seharusnya mengeluarkan kenyataan rasmi tentang penggunaan perkataan Allah adalah hanya untuk Tuhan orang Islam dalam konteks Malaysia sebagaimana yang dapat difahami daripada kamus yang dikeluarkan olehnya.
- Uslub dakwah dalam Islam seharusnya diperkayakan untuk menarik golongan yang merasakan diri mereka tersisih daripada masyarakat mendekati Islam.
Penutup :
UMNO tidak seharusnya menggunakan isu ini untuk menutup isu kehilangan enjin pesawat kapal terbang dan ingin menggambarkan mereka memperjuangkan agama. Jika mereka benar-benar ikhlas dalam isu ini, mereka seharusnya terlebih dahulu mengubah dasar perjuangan nasionalis mereka kepada Islam.
Disamping itu, walaupun UMNO cuba untuk memperlihatkan dirinya berjuang untuk menghalang perkongsian penggunaan perkataan Allah dengan agama Kristian, mereka tidak seharusnya lupa bahawa merekalah yang berkongsi ideologi dan cara kehidupan dengan agama Kristian sebelum ini dengan meninggalkan cara hidup Islam yang sebenarnya.
________________________________________
[1] Al-Islam wal Adyan, Dr. Mustafa Helmi, m.s 228
[2] Lihat Muhadharat fi an-Nasraniyyah, Imam Abu Zuhrah, m.s 93
[3] Al-I’lam bima fi din an-Nasoro, Imam Qurtubi, m.s 57
[4] Al-Masihiyyah, Dr. Ahmad Syalabi, m.s 131
[5] Kamus Pelajar Edisi Kedua.
[6] Ibid. Di dalam artikel bertajuk : ‘Kasih Allah; Tidak membeza-bezakan’ dalam akhbar Herald, terdapat juga kalimah rumah Allah bagi merujuk kepada makna gereja.
[7] Lihat http:/harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=2777&Itemid=50
[8] Ini adalah kerana akhbar tersebut diedarkan kepada orang ramai termasuk orang Islam.

Jumaat, 25 Disember 2009

Selamat Memperingati Hari Kelahiran Isa A.S

Atas izin Rasulullah saw seramai 14 orang umat Islam Makkah telah berhijrah mencari perlindungan di Habsyah angkara kezaliman kaum musyrikin disana. 14 orang termasuk 4 orang wanita itu diarahkan pergi ke Habsyah kerana Rajanya Najashi seorang Kristian Koptik dikatakan seorang yang taat pada Allah dan berlaku adil. Ringkas cerita kumpulan ini akhirnya di bawa mengadap Raja Najashi apabila wakil musyrikin Makkah diketuai Amru al As yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Najashi telah memohon agar kumpulan Islam itu diserahkan kepada mereka untuk dibawa balik ke Makkah kerana dikatakan pendurhaka.

Sabtu, 19 Disember 2009

Program Generasi Idaman Selangor

EXCO Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan Kerajaan Negeri Selangor, melalui jawatankuasa pelaksana Program Generasi Idaman Selangor akan menganjurkan beberapa program yang memberi manafaat kepada rakyat Selangor.

40 Ribu Pelajar Selangor Bakal Terima Sumbangan Sebelum 30 Disember

KLANG, 17 Disember - Menjelang pembukaan sesi persekolahan, dalam usaha meringankan beban golongan berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan Kerajaan Negeri bakal menyumbangkan beg sekolah kepada 40 ribu pelajar di seluruh Selangor.

ShoutMix chat widget
 
© 2009 al-haqqu fil hayaht. All Rights Reserved | Powered by Blogger
Design by psdvibe | Bloggerized By LawnyDesignz